AHMAD RUSYDI (tiga kanan) bersama Bendahari Pemuda UMNO Merbok, Haris Haroon (baju jalur) serta wakil Belia 4B menunjukan salinan laporan berhubung perbuatan khianat dengan menyimbah cat pada gambar Tajul Urus. FOTO Ihsan Ahmad Rusydi
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


GAMBAR Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain pada bunting dekat Caltex Laguna Merbok, Sungai Petani diconteng dengan cat hitam semalam.

Kejadian itu disedari Ketua UMNO Cawangan Taman Desa Jaya, Ahmad Rusydi Md Nor apabila terpandang ‘bunting’ memaparkan ucapan Selamat Datang Ke Tanjung Dawai ketika melalui kawasan itu hari ini jam 11 pagi.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh wakil Tajul Urus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai kira-kira 2.28 petang hari ini.

Menurut Ahmad Rusydi laporan polis itu kerana pihaknya bimbang dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan perasaan tidak sedang dalam kalangan orang ramai.

"Saya berharap pihak polis melakukan siasatan segera sekali gus menahan dan mendakwa pihak terbabit yang cuba melakukan provokasi dan menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan orang ramai serta bertujuan memalukan imej pemimpin tempatan terbabit.

"Jelas di sini ada pihak yang cuba memainkan sentimen politik dan saya bagi pihak Tajul Urus menolak perbuatan tidak matang ini dan permusuhan yang cuba dibawa oleh mereka.

"Laporan ini juga diharapkan dapat mencegah perbuatan seumpama ini berlaku pada masa akan datang," katanya dihubungi hari ini

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kesan cat berwarna hitam di bawah ‘bunting’ yang dipasang.

"Bagaimanapun, polis tidak menjumpai sebarang bahan yang digunakan terhadap kesan cat itu.

"Bunting itu sudah tiada di tempat kejadian dan dipercayai sudah diturunkan dan diganti dengan yang lain," katanya dihubungi.

Ahmad Saifi berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 11:22 PM