Bayi yang ditemui di depan rumah kebajikan di Taman Subang Permai, Subang Jaya, hari ini. - Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SEORANG bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di depan pintu pagar sebuah rumah anak yatim di Taman Subang Permai, Subang Jaya, kira-kira 1 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, bayi lelaki berkenaan ditemui tiga wanita yang berada di lokasi kejadian untuk menghantar barang.

“Berdasarkan keterangan saksi, mereka berada di rumah kebajikan itu untuk menghantar barangan keperluan anak-anak yatim pusat berkenaan.

“Mereka melihat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang masih hidup di depan rumah sebelum menghubungi polis,” katanya.

Menurut Mohamad Azlin, pemeriksaan awal terhadap bayi berkenaan mendapati dia dalam keadaan baik dan tiada kecederaan.

“Bayi itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 6:19 PM