SITI Hajar bersama bapa dan adik menunjukkan gambar terakhir Nor Zaarah.
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


Sungai Besar: “Seluruh badan saya lemah dan terasa dunia gelap seketika apabila saya terlihat gambar Honda Jazz yang ditarik keluar dari tali air di Facebook (FB) adalah kereta adik (Noraini),” kata Siti Hajar Bohari, 34.

Siti Hajar adalah anak sulung Nor Zaarah Ithnin, 56, yang maut dalam kemalangan di tali air Jalan Ban Kenal, Sungai Burong, Tanjung Karang kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.43 pagi itu, arwah bersama anaknya, Noraini, 31, dalam perjalanan ke Parit 5 1/2 Barat, Sungai Besar sebelum kereta mereka hilang kawalan lalu terjunam ke dalam tali air itu.

Kejadian mengakibatkan Noraini yang juga anak keempat dari lapan beradik kini ditahan di Zon Kuning Hospital Sungai Buloh selepas patah tulang rahang kanan dan kiri serta retak tulang belakang.

Siti Hajar berkata, pada jam 7 pagi hari kejadian dia menerima panggilan menyatakan neneknya Asiah Khalid, 75, yang tinggal di Parit 5 1/2 Barat meninggal dunia akibat sakit tua.

“Saya sekeluarga yang menetap di Kundang, Sungai Buloh bergerak ke rumah arwah nenek di Sungai Besar jam 8 pagi malah saya sempat hubungi adik (Noraini) ketika sampai di pekan Tanjung Karang.

“Namun pada jam 12 tengah hari, emak dan adik tidak kunjung tiba menyebabkan saya serta adik beradik lain gelisah,” katanya.

Katanya, persoalan itu terjawab selepas dia melihat gambar kereta milik Noraini yang ditarik keluar dari air ketika melayari FB.

“Seorang saudara mengesahkan emak dan adik terbabit dalam kemalangan dan saya segera hubungi ayah yang ketika itu menunaikan solat Jumaat di Masjid Kapar,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa Bohari Muhammad Salihan, 64, berkata, dia mendapat tahu berita kematian isterinya ketika mendengar khutbah Jumaat di Masjid Kapar.

“Ketika khutbah, anak (Siti Hajar) menghubungi saya banyak kali dan dia hanya menangis ketika saya menjawab panggilan itu.

“Hati saya mulai resah dan selepas selesai solat Jumaat, saya hubungi Siti Hajar dan dia minta saya hadir ke bilik mayat Hospital Tanjung Karang.

Waktu itu, saya mengesyaki perkara buruk terjadi ke atas isteri dan anak,” katanya.

Katanya, Nor Zaarah yang juga pengasuh kanak-kanak sebelum itu meminta izin pulang ke kampung bagi menziarahi jenazah ibunya.

“Arwah pulang ke kampung bersama Noraini jam 8 pagi manakala saya menjaga budak jagaannya sehingga jam 12.30 tengah hari sebelum bergerak pulang ke Sungai Besar,” katanya yang reda dengan dugaan itu serta berharap Noraini segera pulih.

Jenazah arwah dikebumikan bersebelahan kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ijtimaie, Tebuk Pulai, Sabak Bernam selepas solat Maghrib kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 6:26 AM