AFFENDI (kiri) beramah mesra dengan penerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Mohamad Horas Matupang Kardi (dua dari kanan), Mohamad Farhan (kanan) dan penerima Piala Nuri Leftenan Mohamad Daniel Mohamad Noor.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa bekerjasama dengan negara luar dalam perkongsian ilmu pengetahuan dan maklumat berkaitan peperangan udara di alam siber bagi menjaga keselamatan negara dan mengekang ancaman.

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perkongsian itu sejajar peredaran masa yang kini beralih kepada teknologi moden ketenteraan yang semakin berkembang.

Menurutnya, zaman kini memasuki evolusi dunia ketenteraan daripada sudut peperangan udara yang semakin canggih. Justeru, TUDM menambah baik anggotanya dengan menitikberatkan ilmu pengetahuan dan psikologi dunia siber.

“Persekitaran sekarang bukan hanya dengan mata kasar, tetapi di alam siber iaitu persekitaran yang berpengaruh besar dan perlu diberi perhatian,” katanya selepas Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas di sini, semalam.

Affendi berkata, TUDM bekerjasama dengan syarikat teknologi dunia siber untuk bertukar kepakaran dan ilmu termasuk menghantar pelatih ke Indonesia menjalani latihan.

“Kita berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran dengan Australia serta Pakistan selain membuka ruang kepada negara maju dan negara ketiga untuk berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan dunia siber,” katanya.

Pada majlis itu, 36 pelatih terdiri daripada 20 pelatih Kursus Asas Penerbangan Siri 79/16 dan selebihnya pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter siri 58/16, menerima sayap penerbangan masing-masing.

Penerima anugerah Panglima Tentera Udara (terbaik keseluruhan sayap) Leftenan Mohamad Farhan Ismail berkata, cabaran ketika menjalani latihan ialah perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat kerana masa padat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 6:11 AM