Nor Raidah Awang
am@hmetro.com.my


LESEN lapan syarikat pembekal minyak masak bersubsidi ditarik sepanjang 2017 kerana dikesan melakukan penyelewengan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata tindakan tegas ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani penyelewengan minyak masak bersubsidi oleh syarikat pembekal.

“KPDNKK sudah mengambil tindakan terhadap syarikat pembekal di Seremban, Johor Bahru, Sandakan, dan Teregganu yang terbabit dengan penyelewengan.

“Ia membabitkan rampasan lebih 2,000 tan metrik minyak masak bersubsidi,” katanya di Program Di Celah-Celah Kehiduan di Selama, Perak.

Menurutnya, bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi susulan penarikan lesen itu pihak kementerian akan memberikan lesen bekalan minyak kepada syarikat lain.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut mengulas mengenai kejayaan KPDNKK Parit Buntar, 24 Januari lalu, yang merampas 3,485 paket minyak masak bersubsidi (1 kilogram) bernilai RM8,364 yang cuba diselewengkan di sebuah premis di Bagan Serai.

“Syarikat yang diberikan lesen pembekalan dengan kouta tertentu sudah untung dan janganlah bertindak sebaliknya untuk mengaut keuntungan melampau.

“Pasukan khas juga sudah diwujudkan untuk membuat risikan sejak enam bulan lalu bagi membanteras kegiatan sama,” katanya.

Sementara itu, pada Program Di Celah-Celah Kehidupan anjura BHPetrol dengan kerjasama Parlimen Larut, Hamzah menyampaikan sumbangan RM7,000 kepada Rahim Mahmood, 51, dari kampung Batu 3, Selama.

Ia bagi membaikpulih rumah penduduk terbabit yang sudah usang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 11:05 PM