KELUARGA Zakariya sentiasa berada di sisi untuk menjaganya. FOTO NSTP
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang menghubungi saya untuk membantu ayah selepas berita saya disiarkan Harian Metro, saya menerima ratusan mesej dan WhatsApp yang mahu bertanyakan khabar ayah,” kata Raden Muhamad Nafis Zaki, 27, anak sulung kepada R Zakariya R Abdul Hamid, 51, yang terlantar akibat kemalangan jalan raya sejak tiga tahun lalu.

Berita dan video mengenai adik bongsunya, Raden Nabil Zakiyudin R Zakariya, 11, atau mesra dipanggil Nabil yang melaungkan azan sebagai satu usaha menyembuhkan bapanya menarik perhatian orang ramai yang mahu menyampaikan bantuan kepada keluarga berkenaan.

Raden Muhamad Nafis Zaki atau mesra dengan panggilan Zaki berkata, selepas nombor telefonnya dipaparkan di akhbar ini, ramai pihak yang meminta nombor akaun dan mahu melakukan rawatan percuma untuk bapanya.

“Sejak itu, saya menerima ratusan mesej dan WhatsApp yang mahu membantu kami termasuk profesor dari Singapura dan India.

“Terima kasih kepada mereka yang mendoakan ayah saya dan berhasrat untuk melawatnya di rumah kami,” katanya.


LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam. FOTO NSTP

Katanya, dia terharu dengan keprihatinan semua yang mahu bapa sembuh seperti dulu dengan menawarkan rawatan akupuntur dan urutan saraf serta membantu kewangan mereka.

“Ada yang mahu menyumbangkan lampin pakai buang dan peralatan perubatan untuk ayah. Saya menghargai semua sumbangan ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua,” katanya.

Semalam muka depan akhbar ini memaparkan kegigihan Nabil yang melaungkan azan setiap hari sebagai salah satu usaha untuk menyembuhkan R Zakariya yang terlantar akibat kemalangan jalan raya di Petaling Jaya, sejak tiga tahun lalu.

Rutin harian itu dilakukan setiap kali Nabil pulang dan mahu ke sekolah tanpa gagal selama tiga tahun dengan harapan bapanya mampu bangun untuk menemaninya solat jemaah di masjid di depan rumah.

Berita berkaitan

Laungan azan untuk ayah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 6:43 AM