HUSNA Hawa menunjukkan bahan pengawet EP yang dihasilkan daripada serbuk daun pokok serai kayu.
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my

Kuantan: Penggunaan EP (Eugenia Polyantha) Naturel yang dihasilkan daripada serbuk daun pokok serai kayu membolehkan minyak masak digunakan berulang kali hingga 70 kali penggunaan tanpa mengubah rasa, bau dan warna.

Keistimewaan lain pada pokok itu menjadi bahan membantu mencegah penyakit kanser selain digunakan dalam menghasilkan kosmetik, serbuk teh dan campuran membuat biskut.

Pensyarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Husna Hawa Mohd Hassan berkata, dia bersama lima pensyarah Jabatan Teknologi Makanan (JTM) mengambil masa lebih enam tahun menghasilkan EP Naturel yang juga sejenis bahan pengawet.

Beliau berkata, minyak masak pelbagai jenama yang berada di pasaran kini mengandungi campuran bahan kimia berperanan memastikan produk itu berada dalam keadaan baik dan tahan lebih lama.


PENSYARAH JTM POLISAS memilih daun pokok serai kayu.

Katanya, kadar penggunaan EP Naturel dalam minyak masak adalah 0.02 peratus bagi setiap satu kilogram, serbuk daun pokok serai kayu sesuai dicampur dalam minyak kelapa sawit dan kelapa.

“Selain kos yang murah penggunaan EP Naturel juga dapat mencegah penyakit kanser disebabkan penggunaan minyak masak secara berulang terutama dalam kalangan peniaga makanan di pasar malam.

“Sebagai contoh peniaga ayam goreng akan menggunakan minyak masak secara berulang, mereka hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kesan buruk kepada pengguna,” katanya di sini, semalam.

Turut terbabit menghasilkan EP Naturel adalah Nor Azila Maskam, Nik Hairiah Nik Mohamad Ravi, Nordalilah Wahab, Iman Abdullah dan Ikhmal Hisham Abdul Halim.

Husna Hawa berkata, beberapa proses diperlukan untuk menghasilkan EP Naturel dan pokok serai kayu yang banyak tumbuh liar membolehkan produk itu dikeluarkan tanpa memerlukan modal besar.

Katanya, pucuk serai kayu juga terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di kampung apabila dijadikan ulam dan banyak khasiat terkandung pada tumbuhan hijau itu yang masih belum dibuat kajian makmal.

“Saya sedia berkongsi formula dengan pihak berminat untuk mengkomersialkan EP Naturel. Produk ini mampu menembusi pasaran dalam dan luar negara jika mendapat sokongan syarikat terkemuka,” katanya.


PENSYARAH melakukan penyelidikan di makmal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 4:49 AM