Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my

SEORANG lelaki yang memukul pesara polis hingga maut di Kampung Apa-Apa, Meranti, Pasir Mas, semalam direman selama tujuh hari Mahkamah Majistret Kota Bharu, bermula hari ini.

Lelaki berusia 38 tahun itu direman sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki itu dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kota Bharu Rosli Ahmad.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, lelaki itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah pil kuda atau methamphetamine,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Harian Metro melaporkan, pesara polis, Abdul Halim Yusof, 68, cedera parah di kepala selepas dipukul dengan objek keras oleh seorang lelaki berusia 30-an di Kampung Apa-Apa, Meranti, Pasir Mas.

Dalam kejadian 12 tengah hari kelmarin itu, mangsa sempat bergelut dengan suspek sebelum meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Pasir Mas.

Kejadian berpunca selepas mangsa menegur lelaki itu yang bertindak membaling atap bata, batu dan kayu ke arah rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 1:08 PM