PENDUDUK kampung menunjukkan kesan darah mangsa, seorang pesara polis, Abd Halim Yusoff, 68 yang maut dipercayai dibaling serpihan atap bata oleh seorang lelaki di Kampung Apa-Apa, Meranti. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


JIRAN sempat mengajar mengucap dua kalimah syahadah sebanyak 10 kali kepada warga emas yang nazak selepas dipukul dengan objek keras di kawasan semak di Kampung Apa-Apa, Meranti, Pasir Mas, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Abdul Halim Yusof, 68, yang juga pesara polis parah dipukul dengan objek keras di kepala dan dipercayai bergelut dengan suspek.

Jiran mangsa, Aziz Mat, 62, yang juga saksi berkata, kejadian disedari sebaik dia terdengar bunyi bising dari arah tingkap rumahnya dalam jarak 10 meter (m).

"Isteri mangsa yang berusia 60an minta tolong dan pak cik terus ke lokasi kejadian di dalam semak serta melihat mangsa berlumuran darah dan dalam keadaan terbaring.

"Pak cik bersama anak saudara mangsa mengusung lelaki itu untuk dibawa pulang ke rumahnya dalam jarak 25m.

"Pak cik sempat mengajar mangsa mengucap sebanyak 10 kali sebelum ambulans datang membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, hari ini.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital itu.

Menurutnya, sebelum kejadian, isteri mangsa berusia 60an ada menegur lelaki berusia 30an beberapa kali kerana bertindak membaling serpihan atap bata, batu dan kayu ke arah rumah mangsa yang jaraknya 10m.

"Lelaki itu tidak mengendahkan teguran berkenaan sebelum mangsa pergi berjumpa lelaki terbabit di rumahnya.

"Sebelum ini, lelaki itu pernah membaling objek keras ke rumah mangsa," katanya.

Menantu mangsa, Fakri Yaakob, 41, berkata, kejadian itu diketahuinya selepas dihubungi ahli keluarga pada 2 petang.

Katanya, ketika sampai bapa mentua sudah dibawa ke HPM dan disahkan meninggal dunia.

"Apa pun keluarga reda dengan pemergian ayah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, suspek ditangkap polis di kampung berkenaan pada 2 petang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 9:18 PM