Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my

PAWAGAM terkemuka, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC), memperkenalkan pawagam premium 4DX pertama di negara ini sebagai tarikan baharu kepada pengunjung di Paradigm Mall, Johor Bahru.

Berkeluasan 5,574.18 meter persegi dengan nilai pelaburan berjumlah RM44 juta, pawagam itu mempunyai 16 skrin, lebih 2,000 tempat duduk yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini termasuk sistem audio terbaharu Dolby Audio 7.1, kombinasi beberapa komponen audio IMS3000 dan sistem pembesar suara secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Koh Mei Lee berkata, keistimewaan pawagam GSC yang dilengkapi dengan kerusi 4D motion yang bergerak, malah mempunyai kesan khas seiring aksi filem di skrin.

“Pawagam premium 4DX menyediakan lebih 20 tindak balas maya termasuk haba, asap, angin, getaran dan pergerakkan yang memberi peluang kepada penonton untuk merasai pengalaman sebenar.

“Malah, GSC Paradigm Mall turut dilengkapi dengan skrin paling besar di Malaysia iaitu GSC Maxx selebar 21.5 meter.

“Bandaraya Johor Bahru menjadi lokasi strategik GSC yang juga ke arah pembaharuan menepati kehendak pelanggan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pembukaan pawagam berkenaan di Paradigm Mall, hari ini.


Antara pengunjung menggunakan kemudahan bayaran dalam talian di kiosk GSC. FOTO/ Nurul Amanina Suhaini

Menurut Koh, sempena meraikan pembukaan GSC di Paradigm Mall, pihaknya menawarkan sebuah kereta Nissan Almera kepada pengunjungnya menerusi peraduan Ticket to Drive sehingga April depan.

Seiring dengan permintaan semasa, pihaknya turut merancang untuk menambah rangkaian pawagam di negeri ini bagi memudahkan capaian pelanggan, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan dengan menawarkan lebih pilihan kepada pengunjung.

“GSC ialah peneraju pawagam di Malaysia yang juga anak syarikat PBB Group Bhd, selain mempunyai 344 skrin digital di 36 lokasi di negara ini.

“Malah, syarikat ini juga mempunyai 82 skrin di 13 lokasi di Vietnam menerusi kerjasama dengan Galaxy Studio.

“Pengubahsuaian rangkaian pawagam sedia ada turut diberi tumpuan secara berperingkat dalam usaha memenuhi kehendak pelanggan dan merancang bagi menaik taraf empat lagi pawagam di Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 5:37 PM