Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyelamatkan lebih RM1 bilion hasil negara tahun lalu melalui kejayaan mematahkan cubaan penyeludupan beberapa komoditi seperti kenderaan, rokok dan minuman keras.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pencapaian ini diperoleh hasil daripada tahap integriti yang tinggi dalam kalangan warga kastam sehingga dapat mengurangkan ketirisan hasil.

“Saya tidak syak dan ragu-ragu JKDM akan terus menunjukkan peningkatan dari segi penyampaian dan perkhidmatan setiap tahun.

“Malah, saya yakin dan percaya dalam apa juga keadaan, walaupun ditekan dan diugut, walaupun kereta dibakar anggota (kastam) tidak akan mengalah.

“Sebaliknya lebih kuat semangat untuk menjalankan tugas seperti yang diamanahkan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Seri Lee Chee Leong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memberi jaminan tidak mempunyai cadangan untuk menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kadarnya kekal pada enam peratus sejak diperkenalkan pada 1 April 2015.

Beliau sekali lagi turut menegaskan pelaksanaan GST bukan untuk membebankan rakyat, tetapi penyelamat kepada ekonomi negara.

Katanya, pada tahun lalu, jumlah GST yang berjaya dikutip sebanyak RM44 bilion berbanding RM41 bilion tahun sebelumnya.

“Tahun ini walaupun dalam pembentangan Bajet 2018 saya umum sasaran kutipan GST sebanyak RM43 bilion, tetapi Ketua Pengarah bisik kepada saya mungkin boleh capai RM45 bilion tahun ini.

“Saya beri jaminan kepada rakyat kadar GST (negara) adalah yang terendah di dunia dan jumlah barang serta perkhidmatan yang dikecualikan GST juga paling banyak,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Malaysia GST Compliance Assurance Programme (MyGCAP).

Sementara itu, Johari berkata, MyGCAP yang akan dilaksanakan suku kedua tahun ini adalah inisiatif bestari antara JKDM dan syarikat berdaftar GST bagi meningkatkan tahap pengurusan risiko dan pematuhan terhadap perundangan GST.

“Melalui program ini, JKDM boleh mengeluarkan kelulusan tanpa melalui verifikasi kepada syarikat yang sudah mencapai tahap pematuhan perundangan GST yang tinggi.

“Ia sekali gus mempercepatkan proses bayaran balik (refund) cukai dan kelulusan secara automatik semua jenis fasiliti di bawah GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:17 AM