PESERTA melawat kilang pemprosesan makanan selepas perasmian kursus PDE.
Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


MENEROKA pasaran antarabangsa, berniaga secara dalam talian dan membina jaringan bersepadu antara ilmu perniagaan secara langsung yang diajar kepada 80 penuntut perintis Program Diploma Profesional Keusahawanan (PDE) kelolaan Koperasi Anak Sains MARA Berhad (ASMARA).

Program diploma setahun secara jarak jauh anjuran Katowice School of Economics (UNIKAT) yang dulunya dikenali International University of Georgia (UNIGEORGIA) Netherlands, Belanda itu mula diperkenalkan pada Julai tahun lalu dan mereka akan menamatkan pengajian, tahun ini.

Penasihat Pembangunan Pemasaran ASMARA Mithaq Abd Mutalib berkata, PDE bertujuan melahirkan usahawan yang berilmu, terbimbing dan berjaya dalam kalangan Bumiputera dari usia 30 hingga 60 tahun.

Katanya, penuntut terpilih terdiri daripada mereka yang menjalankan perniagaan dalam tujuh sektor iaitu makanan, herba dan makanan tambahan, fesyen, kosmetik, pendidikan, perkhidmatan serta peruncitan.

“Program PDE terbuka kepada individu yang tiada pendidikan rasmi dalam bidang keusahawanan dan kita mengajar mereka apa yang perlu dibuat dalam masa terkini perniagaan diceburi mereka.

“Contohnya cara meraih modal daripada pelabur atau institusi kewangan, menyediakan akaun, import eksport dan pelbagai lagi.

“Hari ini kita bawa penuntut PDE bertemu pengilang Bumiputera di Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR) untuk membina jaringan perniagaan dan mewujudkan kerjasama bagi pembuatan serta pembungkusan makanan secara pengeluar kelengkapan asli (OEM),” katanya ketika sidang media selepas majlis perasmian Program Engagement Penuntut PDE yang disempurnakan Pengarah MARA Wilayah Persekutuan Raja Sarimah Raja Jamaluddin di KIMAR, Batu Caves, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi ASMARA Prof Emeritus Datuk Dr Md Mydin Sheriff.

Sementara itu Raja Sarimah berkata, KIMAR yang dibuka sejak 2005 menempatkan 19 kilang pelbagai sektor perniagaan antaranya makanan sejuk beku, kosmetik, minuman dan pelbagai lagi sekali gus menjadi hab industri makanan Bumiputera terbesar di negara ini.

“MARA mempunyai ekosistem lengkap dalam sektor keusahawanan untuk memberi kursus bimbingan dan membantu memperkembangkan perniagaan.

“Kita harap penuntut PDE dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi dan usahawan di bawah MARA dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 11:26 PM