Aierierullah Mat Atan, 25, dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Zulkifli Zainuddin
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


KETUA geng Harry Gunong dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pisau, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Harry atau nama sebenar, Aierierullah Mat Atan, 25, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dua orang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pisau terhadap Nurul Baizura Baharom, 28, dan melarikan Proton Waja milik Suhawazi Suhaimin, 43, di tepi pantai Kampung Pachakan, Cherang Ruku, Pasir Puteh, 6.50 petang, pada 23 Februari 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum, hari ini.

Terdahulu, pada prosiding sama, Aierierullah bersama Mohd Zikrilah Abdullah, 30, Muhammad Iqbal Abdullah, 21, dan Mohammad Nordin Mustapha, 26, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merompak secara berkumpulan serta melakukan rompakan bersenjata, Julai tahun lalu.

Mereka didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan terhadap Badrul Amin Hamzah, 21, dengan meminta wang sebanyak RM100 dan dalam kejadian itu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di tepi jalan di Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh, 4 petang, pada 10 Julai 2017.

Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mahkamah menetapkan 26 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 7:05 PM