Shamsul Anuar (tiga kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mariani dalam kunjungan sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0, hari ini. FOTO Rosela Ismail
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


“RUMAH peninggalan keluarga ini sudah berusia lebih 20 tahun dan bumbungnya juga mengalami kebocoran di sana sini.

“Anak-anak merungut tidak selesa tetapi apakan daya, kami tidak mampu membaikinya kerana pendapatan suami sebagai nelayan hanya sekadar cukup untuk makan saja," kata Mariani Asfarin, 35.

Ibu kepada lima anak dari Kampung Kabogan, Semporna, Sabah itu berkata, rumah usang yang mempunyai tiga bilik berkenaan menjadi tempat berteduh untuk mereka sekeluarga termasuk seorang adiknya.

Katanya, meskipun rumah itu tidak sempurna seperti rumah keluarga lain tetapi itulah syurga untuk keluarganya.

"Kami hanya mempunyai rumah ini untuk berteduh dan berharap ia dapat dibaik pulih dengan segera," katanya.

Kesusahan keluarga Mariani itu bagaimanapun turut mendapat perhatian Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) yang mengunjungi rumahnya hari ini.

Kunjungan Pengerusi BiKUM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0  itu turut disertai Pemangku Ketua UMNO Semporna, Datuk Nasir Sakaran.

Dalam kunjungan berkenaan, keluarga Mariani menerima bantuan dekorasi dan membaiki bumbung rumah.

Terdahulu di Dewan Masyarakat Semporna, Shamsul dan Nasir turut menyerahkan bantuan kepada 1,000 pelajar dan lebih 1,000 keluarga kurang bernasib baik di sekitar Semporna.

Shamsul Anuar berkata, BiKUM memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bantuan menerusi siri jelajah UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Sabah yang bermula semalam.

Katanya, bantuan itu diberikan kepada penduduk yang memerlukan di enam bahagian termasuk Libaran, Batu Sapi, Semporna, Tenom, Kota Belud dan Beaufort.

"Bantuan kali ini berbentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi) dan kit makanan serta barangan keperluan harian.

"Kita sudah berkunjung ke 71 kawasan Parlimen  di seluruh negara bagi bertemu dan membantu rakyat di peringkat akar umbi.

"Sebagai kerajaan yang prihatin, UMNO sentiasa ada untuk membantu serta meringankan beban hidup rakyat tanpa membezakan sesiapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 3:49 PM