Shamsul melawat Lebibah yang mengalami angin ahmar di rumahnya di Kampung Sungai Kayu, Sandakan sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0. FOTO/ Rosela Ismail
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

“WALAUPUN mak cik Lebibah hanya ibu saudara, bagi saya dia tidak ubah seperti ibu kandung sendiri.

“Ini kerana sejak kecil saya menumpang kasih dengannya, kini giliran saya pula yang menjaga makan minumnya apatah lagi dengan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan,” kata Abdul Kadir Mohd Najib, 38.

Ibu saudara Abdul Kadir, Lebibah Omar, 77, kini terlantar akibat serangan angin ahmar sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurut Abdul Kadir, Lebibah tidak memiliki anak daripada perkahwinannya sebelum ini dan  kini menumpang kasih bersama keluarganya.

Mak ciknya bukan saja tidak dapat bertutur dengan jelas malah segala keperluan harian termasuk makan dan minum perlu diuruskan.

Baginya, biar sesusah mana pun hidup, keluarganya tetap akan menjaga mak cik Lebibah sampai akhir hayat.

“Saya tidak rasa terbeban sebaliknya melakukannya dengan ikhlas.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada yang sudi menziarahi dan membantu 

mak cik,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Badan Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah di rumahnya di Kampung Sungai Kayu, Sandakan, hari ini.

Kunjungan berkenaan sempena Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran BiKUM dan UMNO Bahagian Libaran di Sandakan, hari ini.


Shamsul Anuar (tiga kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mariani dalam kunjungan sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0, hari ini. FOTO Rosela Ismail

Program dirasmikan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman di Dewan Serbaguna Libaran.

Musa dalam ucapannya berkata, tiada satu pun parti di dunia ini memiliki sistem sebaik Barisan Nasional dan UMNO yang bukan saja mempunyai hala tuju malah sentiasa komited membantu rakyat.

Kata beliau, wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya bukanlah YB (Yang Berhormat) sebaliknya menjadi Yang Berkhidmat untuk rakyat.

“Jangan terpengaruh dan terperdaya dengan parti pembangkang, itu semua parti yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Barisan Nasional mahu pun UMNO sebaliknya sudah lama wujud dan kami sentiasa ada untuk membantu rakyat,” katanya.

Pada majlis sama, Musa turut menyampaikan peruntukan RM120,000 untuk bantuan keperluan harian keluarga yang memerlukan di sekitar Libaran.

Selain itu, Shamsul turut menyampaikan bantuan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi) berjumlah RM100,000 kepada 1000 pelajar sekolah rendah yang kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 12:59 PM