AINULLOTFI (duduk tengah) bersama penerima Program Cermin Mata Percuma di Pejabat IKRAM Negeri Selangor.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: “Dengan adanya cermin mata ini, ia membantu saya untuk fokus ketika sesi pembelajaran di sekolah,” kata Muhammad Aqil Darwisy Mohd Faizul, 11, yang menerima sumbangan cermin mata daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Menara Optometry Sdn Bhd di sini, semalam.

Muhammad Aqil dan kembarnya Muhammad Aqim Darwisy, 11, antara 27 murid sekolah rendah dan pelajar menengah di Shah Alam dan Klang yang menerima cermin mata berkenaan pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM Prof Madya Ainullotfi Abdul Latif serta Pengarah Urusan Menara Optometry Mohd Zaremdeen Mohd Zaman.

Penghargaan sama diberi kepada seorang lagi penerima, Wan Aiman Abdullah, 11, yang berkata, pemberian cermin mata percuma itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi masa depannya.

“Ketika sesi pembelajaran di kelas baru-baru ini, saya duduk di belakang dan tidak berapa jelas untuk melihat tulisan guru di papan hitam.

“Selepas itu, saya memberitahu ibu dan terus menjalani pemeriksaan mata dan mendapati saya ada masalah rabun,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ainullotfi berkata, IKRAM menerusi agensi khidmat masyarakatnya iaitu i-Bantu memulakan usaha untuk mengenal pasti masalah rabun dalam kalangan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dan mengatasinya dengan memberi cermin mata percuma kepada mereka.

“Untuk itu, i-Bantu IKRAM memperuntukkan dana RM30,000 daripada Tabung Pendidikan Dana Rayuan Ramadan untuk fasa pertama Projek Cermin Mata Percuma ini.

“Pada tahap awal, empat kawasan dijadikan projek fasa pertama iaitu Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Johor Bahru dengan menyasarkan 200 penerima,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan akan diteruskan di seluruh negara dan dikendalikan oleh i-Bantu bagi membolehkan pelajar kurang berkemampuan dan menghadapi masalah rabun dapat diberikan bantuan cermin mata.

“Untuk kelangsungan projek ini, i-Bantu membuka kepada masyarakat umum untuk turut menyumbang dana supaya lebih ramai pelajar memerlukan mendapat bantuan ini.

“Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh layari www.ibantu.ikram.org.my atau laman Facebook (FB) iBantu.IKRAM.Prihatin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 2:21 PM