DUA mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Salor Baru, semalam.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my

Kota Bharu: Perjalanan dua sahabat untuk pulang ke rumah mereka tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Salor Baru di sini, semalam.

Kejadian jam 5.45 pagi, pemandu kereta Nissan Sunny, Mahidin Hamat, 57, yang tinggal di Tanah Merah dan rakannya, Mohd Adzlan Mohd, 32, beralamat di Tok Uban, Pasir Mas maut di lokasi kejadian akibat parah dan seorang lagi lelaki yang memandu kereta Honda Civic turut parah.

Kemalangan berlaku apabila kereta Honda Civic dipandu lelaki berusia 27 tahun dari Pasir Mas menghala Kota Bharu cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, akibatnya kereta itu melanggar bahagian hadapan kenderaan dua mangsa yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas.

“Kemalangan itu menyebabkan dua lelaki itu tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di bahagian badan.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Mangsa yang meninggal dihantar untuk bedah siasat dan lelaki yang cedera menjalani rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 4:53 AM