Dadah dirampas daripada dua lelaki dan seorang wanita di Taman Pantai Indah, Butterworth, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


DUA lelaki dan seorang wanita lalok akibat dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pantai Intan, Butterworth, awal pagi ini.

Serbuan jam 2 pagi itu membabitkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) diketuai Inspektor K Tanapalan.

Ketika serbuan, suspek lelaki berusia 36 dan 49 tahun yang bekerja sebagai buruh serta rakan wanita berusia 27 tahun sedang leka membungkus dadah.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis yang membuat pemeriksaan menemui tujuh paket plastik mengandungi dadah disyaki heroin dan tiga paket plastik mengandungi syabu dianggarkan bernilai RM32,000 iaitu rampasan terbesar setakat bulan ini dalam daerah SPU.

Beliau berkata, dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri dan ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati positif morfin dan amphetamine.

"Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memiliki dan memasukkan dadah dalam badan," katanya.

Noorzainy berkata, pihaknya memerlukan kerjasama orang ramai bagi memaklumkan kegiatan penagihan dadah di kawasan mereka untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 6:25 PM