ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan membabitkan lori dan van di Jalan Mengkabong, Tuaran. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my


LELAKI terpaksa menahan sakit selama 10 minit apabila kedua-dua belah kakinya tersepit selepas lori yang dipandunya bertembung dengan van di Jalan Mengkabong, Tuaran, hari ini.

Dalam kejadian 12.55 tengah hari, mangsa Rosley Rioh, 41, parah pada kedua-dua belah kakinya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Qawie Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1 tengah hari dan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi.

Qawie berkata, dia difahamkan lori tiga tan itu baru keluar dari simpang Kampung Mengkabong Timbum dan tiba-tiba dilanggar Toyota Hiace yang dipercayai memintas kenderaan lain di laluan bertentangan.

"Anggota bomba mendapati pemandu lori tersepit di bahagian pemandu dan usaha mengeluarkan mangsa segera dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.

"Selain pemandu, terdapat dua penumpang lori masing-masing berusia 35 dan 38 tahun serta pemandu van yang belum diketahui identitinya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dihubungi semalam.

Katanya lagi, mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.

"Operasi tamat sepenuhnya kira-kira sejam kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 5:07 PM