Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


SEORANG pembantu kedai makan mengaku membawa daun ketum dari Kedah dan memasaknya untuk kegunaan sendiri.

Pemuda berusia 24 tahun itu bagaimanapun diberkas di Jalan Syed Abd Aziz, Melaka, malam tadi, selepas pihak berkuasa menemui sebotol air ketum dalam raga motosikal ditunggang.

Dalam Operasi bersepadu diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 9 malam itu, lelaki itu ditahan ketika dalam perjalanan pulang selepas habis bekerja.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, A Reuben berkata, lelaki terbabit antara lima individu ditahan selepas didapati positif dadah ganja dan Methamphetamine.

"Lelaki membawa air ketum itu turut positif ganja bersama dua lagi lelaki, manakala dua lagi lelaki positif dadah methemphatamine.

“Selain AADK, operasi diketuai JPJ itu turut disertai polis trafik dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR),” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, 825 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 82 saman dikeluarkan membabitkan 95 kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 10:00 AM