ANGGOTA KPDNKK, JIM, MPSJ dan SSM melakukan operasi di Pasar Borong Selangor, pagi kelmarin.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Serdang: Pasar Borong Selangor dekat Seri Kembangan digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pagi kelmarin.

Seramai 14 peniaga dikenakan tindakan selepas didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan dalam operasi bersepadu yang diketuai Pegawai KPDNKK Selangor Mohamed Aznanshah Khalid.

Pengarah KPDNKK Selangor Ahmad Fauzi Idris berkata, seramai 70 anggota terdiri daripada anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Metrology Corporation Sdn Bhd (MCM) terbabit dalam operasi yang bermula jam 9 pagi itu.

“Dalam operasi itu, kami melakukan pemeriksaan besar-besaran di pasar berkenaan dan hasilnya sebanyak 14 gerai didapati melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Mereka didapati gagal mempamerkan tanda harga selain alat timbangan didapati tamat tempoh. Manakala pihak SSM mengenalpasti dua gerai yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 12(2) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 iaitu tidak mempamerkan sijil perniagaan.

“Pihak MPSJ pula mengeluarkan 13 notis tindakan kompaun kepada peniaga yang melakukan kesalahan mengikut Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ) 2007 kerana tiada lesen perniagaan serta iklan haram,” katanya.

Beliau berkata, JIM melakukan pemeriksaan ke atas 78 individu dan mendapati sembilan daripada mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen (6)(1) Akta Imigresen kerana tiada dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Mereka terdiri daripada lima lelaki Indonesia, dua lelaki Myanmar dan dua lelaki Bangladesh. Tangkapan dibawa ke depoh tahanan di Shah Alam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 5:34 AM