Antara kenderaan yang dirampas JSPT Bukit Aman. (FOTO ihsan JSPT Bukit Aman)
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


SEBANYAK 10 kenderaan klon serta yang dicuri terdiri daripada Toyota Vellfire, Toyota Alphard, Toyota Estima, Nissan Frontier dirampas oleh Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman daripada seorang lelaki di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Salak Selatan malam semalam.

Pengarah JSPT Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor berkata, rampasan itu dibuat selepas Unit risikan dan Operasi mengekori suspek yang memandu kereta jenis Toyota Vellfire berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik suspek memasuki kawasan bangunan meletak kenderaan di tingkat dua, anggota yang mengekori terus menahan untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan melalui sistem MCOPS, nombor casis kereta dinaiki lelaki itu berbeza dengan nombor pendaftaran asal.

“Malah, ia juga menggunakan cukai jalan palsu,”€ katanya.

Shahrul berkata, anggota polis yang membuat pemeriksaan badan kemudian menemui 10 anak kunci kenderaan dalam beg sandang yang dibawa.

“Setelah diperiksa, semua kunci itu adalah kunci 10 kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Toyota Alphard, Toyota Estima, Niissan Frontier, Nissan Sylphy, Nissan Urvan, dua Toyota Vios dan dua Perodua Myvi yang diletakkan berhampiran di kawasan parkir itu.

“Semua kenderaan itu didapati menggunakan nombor pendaftaran serta cukai jalan palsu,”€ katanya.

Menurut Shahrul, semua kenderaan itu dipercayai disewakan kepada orang ramai dan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu juga mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 10:04 PM