GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
AFP

PESAWAT Malaysia Airlines (MAS) dari Sydney ke Kuala Lumpur dilencongkan ke bandar Alice Springs, hari ini atas ‘sebab teknikal.’

Menurut laporan media Australia, pesawat Penerbangan MH122 itu dilencongkan akibat satu enjinnya tidak berfungsi.

Pesawat itu selamat mendarat di lapangan terbang Alice Springs.

“Pesawat Penerbangan MH122 dari Sydney ke Kuala Lumpur dilencongkan ke Alice Springs akibat faktor teknikal.

“Pesawat A330-300 selamat mendarat di lapangan terbang Alice Springs,”€ kata MAS dalam satu kenyataan.

Syarikat Penyiaran Australia (ABC) melaporkan pesawat yang dilencongkan itu membawa 224 penumpang.

Seorang penumpang, Chin Kanani memberitahu ABC, isterinya terkejut apabila mendengar bunyi yang kuat.

“Isteri saya berada di tandas apabila dia mula mendengar bunyi bising dari bahagian kanan pesawat dan di situ semuanya bermula.

“Mereka diberitahu untuk bersedia untuk satu pendaratan cemas,” katanya.

Seorang lagi penumpang, Mohamad Nogheib berkata, enjin pesawat itu mengeluarkan bunyi yang pelik

“Ini adalah hari paling takut dalam hidup saya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 9:21 PM