Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


KAPAL penelitian dasar laut yang melakukan pencarian pesawat MH370 dijangka tiba di lokasi pertama selatan Lautan Hindi pada Sabtu atau Ahad ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan dari kapal berkenaan setiap hari.

“Bagaimanapun, kita akan tengok laporan perkembangan pencarian sebelum memaklumkan kepada waris mangsa.

“Waris mangsa akan dimaklumkan terlebih dulu mengenai perkembangan operasi melalui laman web khas kita setiap minggu,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah dan Mesra Allied Aeronautics Training Centre di Ara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Azharuddin berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan sama kepada media dan orang ramai juga setiap minggu mengenai hasil pencarian.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia memeterai perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited berdasarkan terma 'No Cure, No Fee' (tiada penemuan, tiada bayaran).

Pencarian merangkumi keluasan 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan Ocean Infinity akan menumpukan kepada usaha mengenalpasti lokasi sebenar bangkai pesawat, serpihan besar serta kotak hitam merangkumi Perakam Suara Kokpit (CVR) dan Perakam Data Pesawat (FDR) di kawasan pencarian baharu itu.

Azharuddin turut mengesahkan kos pencarian pesawat MH370 ditanggung kerajaan sebelum ini mencecah RM1 bilion.

“Berdasarkan ANNEX 13, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) kita perlu meneruskan pencarian dan siasatan untuk mengesan pesawat yang hilang bagi mengelak tragedi sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Azharuddin berkata, DCA akan dinaiktaraf kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) berkuatkuasa bulan depan.

Berita berkaitan:

Sambung semula pencarian MH370

Kesan semula MH370

Nak terus cari MH370

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 9:07 PM