Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai, hari ini atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, awal bulan ini.

Tertuduh, S Mosas, 24, mengangguk kepala tanda faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Mohammad Salehuddin Abd Sani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mosas didakwa menyebabkan kematian J Paul Ebinesan di laluan Jalan Perak 1 dan rumah Flat Temenggong, Kulai, antara 5.30 petang hingga 7 malam, 3 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh yang berpakaian lokap berwarna ungu itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas tuduhan membunuh kanak-kanak lelaki, awal bulan ini. FOTO/ Mohd Azren Jamaludin

Pada 3 Januari lalu, kanak-kanak itu dilaporkan dihantar sendiri ibunya ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, kira-kira 7.30 malam dalam keadaan tidak bernafas.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebelum pihak hospital menghubungi polis kerana mengesyaki dia didera.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua telinga mangsa selain kesan lebam di bahagian kepala sebelah kirinya.

Malah, terdapat juga kesan lebam lama di bahagian belakang badan mangsa dan terdapat takungan air di kerongkongnya.

Ibu mangsa berusia 18 tahun dan neneknya, 56, ditahan pada hari kejadian di hospital itu untuk membantu siasatan.

Tertuduh yang dipercayai teman lelaki kepada ibu mangsa pula ditahan dua hari kemudian selepas disyaki mendera mangsa sehingga menyebabkan kematiannya.

Ibu dan nenek mangsa yang ditahan reman 14 hari kemudian dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 12:16 PM