KEADAAN tempat letak kereta rumah milik Fatimah yang runtuh secara tiba-tiba, kelmarin.
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my

Bahau: “Saya ingatkan jiran bergurau namun sebaik anak melihat sendiri, baru saya tahu ia kejadian sebenar.

“Saya trauma dan takut untuk tinggal di rumah ini sehingga ia disahkan selamat,” kata Fatimah Zainal Abidin, 48, selepas anjung letak kereta miliknya runtuh di Taman Desa Puteri, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu jam 5 petang selepas menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan bumbung anjung letak kereta terletak di hadapan rumahnya runtuh.

“Saya segera menghubungi anak untuk membuat pemeriksaan. Sebaik dimaklumkan, saya terdiam memikirkan kerugian dialami.

“Kejadian itu mengakibatkan saya kerugian RM40,000 termasuk sebuah motosikal Yamaha FZ150 tertimbus bersama runtuhan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Fatimah berkata, rumah berkenaan dibeli pada 2005 oleh arwah suaminya pada harga RM169,000 dan mereka mula tinggal di situ sejak 2006.


FATIMAH menunjukkan laporan polis dibuat.

“Saya terkejut dengan kejadian itu dan takut untuk tinggal di sini buat sementara waktu sehingga keseluruhan rumah disahkan selamat oleh pihak berkenaan.

“Adik ada menghubungi pemaju perumahan memaklumkan kejadian itu namun tidak mahu bertanggungjawab disebabkan rumah sudah tamat tempoh jaminan,” katanya.

Katanya, buat masa ini, dia dan anak tinggal di kampung sementara rumah berkenaan dibaik pulih dan dipastikan selamat untuk didiami semula.

“Saya tidak pernah membuat kerja naik taraf ruang parkir berkenaan dan ia dalam keadaan asal sejak dibeli dan terkejut apabila boleh runtuh secara tiba-tiba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:51 AM