MOHD Zain menunjukkan debunga pokok kurma.
HM Digital

Kota Bharu: Sebelum ini, usahanya menanam pokok kurma pernah diperlekehkan, malah ada juga mengatakan dia gila kerana menanam spesies palma yang berasal dari luar negara.

Bagaimanapun, setiap kali menerima kutukan itu, Mohd Zain Mohamad, 58, tidak pernah menjawab sebaliknya hanya membalas dengan senyuman.

Kini, selepas 18 tahun, Mohd Zain mampu berbangga apabila hobi menanam pokok kurma yang mulanya hanya sekadar suka-suka, kini mampu memberikan pulangan lumayan.

Menurutnya, bermula dengan menaman 50 pokok, dia kini mampu membenihkan lebih 500 pokok kurma di tanah seluas 0.2 hektar di Kampung Teras, Binjai.

“Orang kata pokok kurma hanya hidup di padang pasir dan kawasan kering, tetapi mereka silap kerana pokok ini memerlukan air yang banyak untuk hidup menyebabkan di negara kita, pokok ini sesuai ditanam di mana saja.

“Mungkin ramai tidak percaya, tetapi jika melawat ladang kurma di tanah Arab, anda akan tahu setiap pokok mempunyai sumber airnya sendiri,” katanya.

MOHD Zain memastikan kawasan persekitaran di tapak tanaman pokok kurma di Kampung Teras, Binjai, Kota Bharu sentiasa bersih.

Menurutnya, ketika mula-mula membabitkan diri menanam pokok kurma, dia sentiasa berulang-alik ke Thailand untuk mempelajari kaedah yang betul untuk menanam dan menjaga pokok berkenaan.

Mohd Zain yang juga peniaga berkata, usaha itu dilakukan sendiri menggunakan wang simpanan tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Menurutnya, setiap pokok dijual dengan harga berbeza bergantung kepada saiz dengan pokok yang lebih besar dan memerlukan jentolak untuk mengoreknya berharga RM3,500 ke atas.

“Itu harga pokok kurma yang berusia tiga tahun ke atas, namun bagi benih, saya menjualnya dengan harga serendah RM15 sepohon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 4:06 AM