TIGA rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Surau Kota, semalam.
Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Suami isteri warga emas yang tidur di tingkat bawah rumah di Kampung Surau, Kota di sini, diselamatkan jiran selepas kediaman itu terbakar, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Hashim Mahmud, 80, dan isteri, Rohani Ismail, 66, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah 100 peratus.

Turut musnah, rumah dihuni bekas penulis bebas Alias Mat Nor, 67, dan isteri Khalijah Ismail, 52, manakala sebuah lagi kediaman terjejas 20 peratus.

Anak Hashim, Hisham, 47, berkata, ibu bapanya tidak menyedari api marak di bahagian atas rumah mereka hingga dimaklumkan jiran yang tinggal berdekatan.

“Mereka tidur di tingkat bawah yang dijadikan kedai runcit dan hanya sedar berlaku kebakaran apabila jiran menjerit dan datang membantu menyelamatkan mereka.

“Ketika itu, ada kakitangan Tenaga Nasional Berhad memeriksa meter untuk bil elektrik. Mereka yang sedar bahagian atas rumah terbakar membawa keluar ibu bapa saya.

“Ayah uzur dan dipapah untuk keluar dari rumah. Saya bersyukur ada jiran prihatin membantu mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia bergegas pulang dari tempat kerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, sebaik dimaklumkan kejadian.

Katanya, rumah itu kediaman pusaka yang dihuni ibu bapanya lebih 40 tahun lalu dan kerugian dianggarkan RM100,000.

Sementara itu, anak Alias, Mohd Zaim, 36, berkata, ketika kejadian, hanya ibu bapanya yang berada dalam rumah manakala dia berada di bandar.

“Mak memasak manakala ayah tidur. Mereka menyelamatkan diri selepas dimaklumkan jiran dan dalam tempoh 10 minit api marak memusnahkan keseluruhan rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 3:44 AM