ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


KELINDAN lori maut, manakala pemandu parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan kanan di Jalan Layang-Layangan berhampiran kilang ayam di Labuan, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa hanya dikenali sebagai Jojo, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Khairul Azmi Amir, 37, parah dan menerima rawatan di Hospital Nukleus, Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu Khairul dari arah Layang-Layangan menuju ke Merinding, di sini.

"Ketika lori bergerak dan tiba di selekoh, brek dipercayai kurang berfungsi dengan baik lalu terbabas di tepi jalan dan merempuh pokok.

"Kelindan yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Nukleus Labuan, manakala pemandu parah patah kaki kanan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sepasukan bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan turut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 8:20 PM