KERETA pelajar Kolej Vokasional Sungai Abong yang maut di Jalan Sungai Terap Jorak.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Muar: Seorang pelajar Kolej Vokasional Sungai Abong di sini, maut selepas Proton Wira dipandunya bertembung dengan bas ekspres di Jalan Sungai Terap Jorak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian jam 7.45 pagi, mangsa dikenali sebagai Muhammad Shahrul Azhar Nazaruddin, 18, maut di lokasi kemalangan manakala pemandu bas berusia 39 tahun tidak cedera.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas dari arah Bukit Pasir hendak ke Bandar Muar.

“Apabila melepasi lampu isyarat persimpangan Jorak-Sungai Terap, kereta dipandu mangsa dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong dan masuk ke lorong sebelah kanan, namun terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar bas berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 4:28 AM