HM Digital

Pekan: Minat terhadap ternakan mendorong warga emas, Mohd Soaud@Saamah Md Yusof, 64, menternak itik telur untuk jualan segar, selain dijadikan telur asin bagi pasaran tempatan.

Dia yang menternak itik di Kampung Permat ang Pasir, di sini, mempunyai sebanyak 60 itik telur berkualiti tinggi yang mampu menghasilkan telur setiap hari dalam tempoh dua tahun.

Mohd Soaud@Saamah berkata, itik memerlukan makanan khas yang diberikan dua kali sehari pagi dan petang, selain makanan tambahan seperti nasi dimasak dengan ikan bilis.

Katanya, pengeluaran telur mencapai seratus peratus setiap hari iaitu 55 hingga 60 biji dengan saiz lebih besar dan menarik yang dapat memenuhi kehendak pengguna.

“Permintaan terhadap telur segar dan telur asin begitu menggalakkan, pengguna membuat tempahan beberapa hari sebelum berpeluang mendapatkannya. Harga berpatutan selain kualiti telur menjadi faktor pengguna berminat.

“Itik mula bertelur apabila mencapai usia enam bulan dan selepas dua tahun pengeluaran telur akan menurun, itik sudah boleh dijual dengan harga RM12 seekor,” katanya yang menetap di perumahan Taman Permata, di sini.

Lelaki warga emas yang sebelum ini pernah menternak 400 itik berkata, ancaman ular sawa dan biawak menyebabkannya mengambil keputusan mengurangkan kepada 60 ekor kerana dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 11 ular sawa paya berjaya ditangkap.

Pesara Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang itu berkata, anak itik dibeli dengan harga RM3.90 seekor dan ia memerlukan makanan yang cukup setiap hari bagi memastikan bertelur pada waktu malam.

“Saya menggunakan lampu cahaya putih berkuasa solar sebagai rangsangan kepada itik untuk bertelur pada waktu malam, aktiviti mengutip telur dan membersihkannya dilakukan pada sebelah pagi.

“Anak bongsu, Suzielah, 22, yang kini menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, akan membantu memungut telur termasuk menghasilkan telur asin,” katanya bercadang menambah jumlah itik pada masa akan datang.

Mohd Soaud@Saamah berkata, harga pallet yang meningkat kini memaksanya menghasilkan makanan berupa campuran nasi, lebihan ikan bilis dan beberapa bahan lain yang mengandungi protein tinggi sebagai penggalak pengeluaran telur.

Sementara itu, Suzielah berkata, masa terluang digunakan untuk membantu bapanya menguruskan projek ternakan itik yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.

“Saya minat membantu mengutip telur dan menghasilkan telur asin, tekanan belajar hilang melihat itik bebas makan dan mandi dalam paya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 1:30 PM