PESERTA tidak meneruskan Cabaran Pulau Indah 180 Malaysia 2018 selepas dibatalkan.
Icka S Hassan
am@hmetro.com.my


Klang: Acara lumba basikal Cabaran Pulau Indah 180 Malaysia 2018 yang sepatutnya berlangsung semalam dibatalkan selepas penganjur didakwa tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Jurucakap polis berkata, berikutan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor tidak memberi bantuan keselamatan sepanjang kayuhan berkenaan.

“Acara penugasan 180 kilometer dibatalkan kerana tiada kelulusan JSPT dan semua penugasan ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Datuk Mahmud Abbas berkata, pihaknya sudah mematuhi prosedur penganjuran perlumbaan itu meliputi aspek keselamatan dan fasiliti perlumbaan.

“Kami kesal dengan pembatalan program ini, apatah lagi kami dimaklumkan mengenainya jam 5 pagi tadi (semalam).

“Kami juga sudah mematuhi prosedur penganjuran perlumbaan meliputi aspek keselamatan dan fasiliti perlumbaan kerana apa yang menjadi keutamaan kami adalah isu keselamatan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, itu bukan kali pertama kejohanan itu dianjurkan, malah sudah memasuki tahun ketiga dan mendapat penyertaan 1,000 pelumba dari dalam dan luar negara.

Dalam kejohanan itu, pelumba akan melalui trek sepanjang 180 kilometer mengelilingi Pulau Indah dan Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 1:11 PM