Keadaan kereta mangsa yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


DUA sahabat maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kemalangan jam 11.10 pagi, mangsa, Sabki Che Mud, 44, bersama penumpang wanita yang tidak dikenali identiti maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda Civic yang dinaiki mereka dari arah Kota Bharu menghala Pasir Mas gagal memotong sebuah kereta yang berada di hadapannya.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar kenderaan pelbagai guna Naza Citra di bahagian kiri.

Akibatnya, kereta mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar besi penghadang jalan.

Lelaki itu tersepit di bahagian pemandu dan penumpang di sebelahnya tercampak keluar.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, adik Sabki, Mohamad Shahidan, 33, berkata, dia bertemu abangnya semalam.

Katanya, abangnya tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga dia menerima berita kemalangan itu.

"Saya reda dengan kejadian itu dan jenazah abang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kor, Dewan Beta, selepas solat Isyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 7:19 PM