Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (dua dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Micheal Kuehner (dua kanan) bergambar bersama kanak-kanak pada majlis 'Parents Unite For Online Safety' di Menara Celcom. FOTO Mahzir Mat Isa.
Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


KERAJAAN mengenal pasti 10 aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dapat dilaksanakan lebih awal sebelum pelancaran dasar dan pelan tindakan TN50 pada September ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, 10 aspirasi yang diperoleh sejak dialog TN50 dilancarkan Januari tahun lalu itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

“Sebenarnya ada banyak tetapi kami hendak pastikan semua aspirasi terbabit spesifik menerusi syarikat yang bersedia ingin ke depan.

“œHari ini kita fokus kepada persekitaran atas talian dan melihat masalahnya pada masa akan datang, antaranya pembuli siber dan mangsa seksual.

“Selepas ini ada lagi program seperti ini. Kita melihat ia satu contoh pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut sama menyumbang untuk kita menjayakan TN50,” katanya pada sidang media program 'Parents Unite for Online Safety' di Menara Celcom, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Michael Kuehner.

Program kesedaran keselamatan atas talian bersama Celcom itu adalah aspirasi TN50 pertama dilaksanakan kerajaan dengan kerjasama syarikat korporat.

Khairy berkata, program itu menjadi inisiatif yang sangat penting dan bertindak sebagai kempen mewujudkan persekitaran selamat generasi muda Malaysia untuk pelbagai aplikasi dalam talian.

Katanya, ia antara kekhuatiran dan masalah masa depan yang ditekankan belia dalam perkembangan teknologi masa kini sepanjang dialog TN50 dijalankan.

Menurutnya, melalui program itu, 175 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh negara akan dilengkapi KidSafe, iaitu aplikasi penapisan internet dengan kerjasama ‘Brainy Bunch International Islamic Montessori, Protect and Save Children’ dan IKRAM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:56 PM