Polis akan terus mengambil tindakan ke atas pemandu yang masih lagi berdegil meletakkan kereta di bahu jalan.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


POLIS akan menunda kenderaan dan mengenakan kompaun maksimum serta merta terhadap pemandu yang meletakkan kenderaan di bahu jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pelaksanaan itu juga akan berkuat kuasa kepada pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di ruang menunggu balai ketibaan dan pelepasan melebihi dua minit.

"Kita tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak sebaliknya terus mengambil tindakan ke atas pemandu yang masih lagi berdegil meletakkan kereta di bahu jalan.

"Pengurusan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) sudah menyediakan kawasan meletak kenderaan yang secukupnya, namun masih terdapat pemandu yang berhenti di bahu jalan terutama berhampiran stesen minyak Petronas KLIA," katanya pada sidang media Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) MAHB Siri 1/2017 di Sepang, hari ini.

Majlis perbarisan itu disempurnakan Pengerusi MAHB Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan Mohd Khairul Adip Abd Rahman dan Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan mengeluarkan saman kepada pemandu yang degil menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan KLIA.

Sementara itu, Badlisham berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 400 ruang meletak kereta berhampiran Hotel Sama-Sama yang turut dilengkapi kawasan rehat.

"Tiada sebarang bayaran akan dikenakan kepada pemandu yang meletakkan kenderaan tidak melebihi 30 minit dan caj minimum sebanyak RM2.50 per jam sekiranya melebihi 30 minit," katanya.

Menurutnya, proses mengambil dan menghantar penumpang hanya memakan masa kira-kira dua minit dan maksimum lima minit saja.

"Bagaimanapun, ada sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab meninggalkan kereta mereka di kawasan berkenaan dalam tempoh yang lama sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Terdahulu, seramai 229 Anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) berjaya menamatkan Latihan Asas Kepolisan dan Keselamatan Penerbangan dalam tempoh enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 4:19 PM