Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


DUA lelaki yang mengaku sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditahan bagi membantu siasatan kes meminta rasuah daripada seorang penghuni rumah kerana kesalahan melakukan pengubahsuaian kotak meter.

Lelaki berusia 28 dan 29 tahun terbabit direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sumber berkata, SPRM menerima aduan daripada penghuni rumah yang mendakwa seorang lelaki mengaku kakitangan TNB meminta RM3,000 sebagai balasan untuk mendapatkan potongan 50 peratus daripada jumlah denda yang akan dikenakan atas kesalahan melakukan pengubahsuaian meter, pada 2 Januari lalu.


DUA individu diiringi anggota SPRM selepas direman untuk siasatan kes meminta dan menerima rasuah, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman

"Suspek dikatakan menerima wang rasuah berjumlah RM1,000 daripada pengadu, semalam. Suspek kemudian mengagihkan RM500 kepada rakan subahatnya.

"Berikutan itu, anggota SPRM yang mengadakan operasi khas menahan suspek pertama di sebuah lokasi di daerah ini pada 4.20 petang, semalam. Suspek kedua pula ditahan 8.50 malam tadi," katanya.

Susulan penahanan itu, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Seremban, hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

Penolong Pendaftar Mahkamah Nur Haryatie Mohd Saini membenarkan suspek direman mulai hari ini hingga Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 12:45 PM