HM Digital

Gombak: Seorang pemandu dan kelindan treler maut tersepit sejurus kenderaan membawa muatan kayu getah dinaiki terbabas sebelum terbalik.

Kemalangan berlaku di Kilometer (KM) 31.2 Lebuhraya Karak menghala ke Gombak jam 1.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pemandu lori R Ragupathy, 27, manakala kelindan R Loganathan, 32, masing-masing berasal dari Raub, Pahang.

Katanya, mangsa dalam perjalanan menghantar muatan kayu getah dari Bentong ke Kuala Lumpur.

“Namun setibanya di selekoh tajam di kawasan itu, treler dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Treler itu merempuh besi penghadang jalan sebelum terbalik di tepi tebing bukit,” katanya.

Ali Ahmad berkata, mangsa terperangkap di tempat duduk masing-masing dalam keadaan terbalik dan tersepit.

“Kedua-dua mereka cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 4:42 AM