Persiapan giat dijalankan bagi menjayakan Festival GegaRia.
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lebih 10,000 pengunjung dijangka mengunjungi Festival GegaRia yang akan diadakan di tempat letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City dekat sini Sabtu ini. Festival anjuran Media Prima Berhad itu akan mewujudkan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk berhubung, berkongsi dan memberi inspirasi terutama kepada generasi milenia.

Jurucakap penganjur berkata, festival berkenaan bertujuan menyatukan golongan belia bagi membolehkan mereka mengeskpresikan diri dalam satu platform.

“Dalam platform itu, kita akan menghimpunkan pelbagai aktiviti seperti permainan, juadah enak, fesyen dan muzik dengan penampilan artis popular secara percuma kepada orang ramai.

“Kita akan menggabungkan pelbagai elemen dengan konsep lebih santai dan hipster, malah menekankan amalan gaya hidup sihat kepada pengunjung.

“Mereka boleh menyertai aktiviti kecergasan dan sukan tradisional seperti zumba, congkak, teng-teng, gasing, baling selipar dan jengga selain e-games yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000,” katanya.

Menurutnya, dalam festival berkenaan akan turut berlangsung Throwback Tunnel yang memberi peluang kepada pengunjung melihat koleksi gambar perkembangan Malaysia.

“Dua kontena dengan hiasan artistik akan mempamerkan seni yang menceritakan era perkembangan Malaysia sejak 1950-an hingga kini. Ia adalah hasil kerja jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) melalui ihsan Pusat Sumber NSTP. Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai juadah nostalgia yang disediakan di sekitar Throwback Tunnel itu,” katanya.

Festival bermula jam 8 pagi itu turut menampilkan enam finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 seperti Salma, Haqiem Rosli, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari, dan Hael Husaini.

Selain itu turut menghangatkan suasana adalah DeFam, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Masdo serta Bunkface.

Karnival itu juga akan turut dianjurkan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 3 Februari, diikuti Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 4:23 AM