Kerusi roda dipercayai milik wanita bergelar Datuk dirampas SPRM.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang wanita berstatus Datuk ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, kelmarin selepas dipercayai bertindak sebagai individu yang membiayai wang rasuah membabitkan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Zon Selatan 2017/2018.

Sumber berkata, suspek berusia 47 tahun hadir di pejabat SPRM bagi memberikan keterangan pada jam 2.30 petang.

Katanya, dia yang juga ahli perniagaan dipercayai penaja pasukan Kuala Pilah-TGI United yang terbabit perlawanan pada 25 November tahun lalu.

“Siasatan mendapati suspek menyalurkan wang kepada pengurus kelab bola sepak itu untuk diberi kepada pasukan lawan dari Tampin. Pemberian adalah bagi memastikan pasukan mereka menang 11-2,” katanya.

Kata sumber itu, Jumaat lalu, SPRM menahan ketua jurulatih pasukan bola sepak di Tampin dan keesokannya pula menahan pengurus pasukan Kuala Pilah-TGI United.

“Ini tangkapan ketiga dan wanita ini adalah individu paling penting bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 pada jam 6 petang.

“Berdasarkan maklumat diterima, setiap daripada 18 pemain menerima RM80, manakala tujuh pegawai pasukan lawan menerima RM100 seorang. Ini adalah sesuatu yang mengecewakan kerana di peringkat akar umbi sudah wujud budaya rasuah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 5:17 AM