Tok dalang wayang kulit terkenal Kelantan, Hashim Ludin meninggal dunia. FOTO Ihsan Ramlah Daud
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


TOK dalang wayang kulit terkenal Kelantan, Hashim Ludin, 66, meninggal dunia akibat kanser paru-paru, hari ini.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, 2.45 petang.

Isterinya, Ramlah Daud, 62, berkata, arwah suaminya dikesan menghidap kanser paru-paru sejak Oktober tahun lalu.

Katanya, suaminya dimasukkan ke HUSM sejak 1 Januari lalu selepas penyakitnya semakin teruk.

"Ini kali pertama suami dimasukkan ke hospital selepas keadaannya semakin teruk apabila sel kanser merebak ke leher.

"Dalam tempoh dirawat di hospital, suami hanya sedarkan diri empat hari sebelum meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suaminya aktif dalam aktiviti wayang kulit sejak usia muda sehingga disahkan menghidap kanser dan dia berhenti daripada menerima jemputan membuat persembahan.

"Jenazah suami akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemasin, Bachok malam ini," katanya.

Allahyarham Hashim atau lebih dikenali sebagai Pok Nik Mat Suara Mas Kemasin terkenal dalam persembahan Wayang Kulit dan mempunyai Kumpulan Nik Mat Suara Mas Kemasin Bachok.

Beliau antara lima orang dalang yang bergiat aktif termasuk membimbing generasi muda menguasai seni wayang kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 7:20 PM