Burung murai batu yang disembunyikan di tempat duduk penumpang depan dan belakang sebuah teksi di ICQS Bukit Kayu Hitam hari ini. FOTO Ihsan Perhilitan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


LELAKI tempatan berusia 38 tahun ditahan berikutan penemuan 101 ekor burung murai batu yang cuba diseludup ke negara ini disembunyikan di tempat duduk penumpang depan dan belakang sebuah teksi di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Muhammad Ali Che Aman berkata, pihaknya bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat pemeriksaan di pos pemeriksaan kenderaan ringan ICQS Bukit Kayu Hitam menghala ke negara ini pada 12.50 tengah hari sebelum menemui burung itu yang disembunyikan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati burung itu disembunyikan di tempat duduk penumpang depan dan belakang serta di tempat alas kaki.

"Susulan itu, kita menahan lelaki tempatan kerana membawa masuk burung murai batu tanpa sebarang dokumen import/eksport sah daripada Perhilitan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 60 (2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bagi pemilikan burung murai batu iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama (Akta 716).

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, burung itu akan dilepaskan semula ke habitat asal selepas mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 6:48 PM