Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


NAZA Kia Malaysia Sdn Bhd (Naza Kia) pengedar utama kenderaan jenama Kia di negara ini melancarkan model Kia Picanto Serba Baharu di Kuala Lumpur, hari ini.

Model generasi ketiga itu dipasangkan dengan enjin Kappa 1.2 liter MPI DOHC empat kelajuan automatik yang menjana kuasa 84 PS pada 6,000 rpm dan daya tork 122 Nm pada 4,000 rpm untuk prestasi dan bahan api lebih efisien.

Kenderaan dalam segmen A ini direka berciri urban dan futuristik termasuk lampu hadapan ‘projection’, lampu nyalaan siang (DRL) serta lampu isyarat daripada LED dengan rekaan jeriji hadapan tampil moden.

Ia juga dibina daripada casis Keluli Berketahanan Tinggi Termaju (AHSS) dan menawarkan enam beg udara pada bahagian hadapan dan sisi sebagai ciri keselamatan terbaik.


KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation, Datuk Samson Anand George (tiga kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, Ivan Kuan (dua kiri) dan Penolong Pengurus Besar Kia Motor, HM Sun (dua kanan) ketika pelancaran Picanto Serba Baru. FOTO Mahzir Mat Isa

Ruang dalaman lebih fleksibel untuk ruang kargo sehingga 1,010 liter melalui tempat duduk belakang boleh dilipat bagi memenuhi keperluan gaya hidup pemiliknya.

Sistem hiburan dan maklumat Kia Picanto kini dipasangkan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci serta fungsi Apple CarPlay dan Android Auto dengan ciri pengecaman suara.

Menerusi sistem ini juga terdapat sambungan USB, AUX dan Bluetooth serta membolehkan telefon pintar digunakan melalui 'Head Unit' untuk pandu arah perjalanan, panggilan, mesej dan muzik.

Untuk pasaran Malaysia lima warna ditawarkan iaitu Pop Orange, Lime Light, Honey Bee, Clear White and Titanium Silver dijual dengan satu varian pada harga RM49,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:30 PM