MOHD Sazmey dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: Akibat menolong seorang lelaki menyembunyikan wang RM3,000 dalam akaun banknya, seorang buruh dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Sazmey Mohamed Asri, 33, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula 10 Mac depan selepas selesai menjalani hukuman penjara di Penjara Bentong, Pahang selama enam bulan terhadap kesalahan sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dari Mersing, Johor didakwa menolong menyembunyikan wang RM3,000 milik Mohd Nasir Ibrahim, 36, ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya di BSN Kubang Kerian pada jam 6.12 petang, 14 Jun 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berminat dengan iklan penjualan van Nissan Vannette di laman Mudah.my sebelum berurusan dengan seorang lelaki.

Lelaki itu kemudian meminta mangsa membuat pembayaran dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, mangsa cuba menghubungi lelaki itu, namun gagal.

Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 6:12 AM