PEMANDU teksi menyertai perhimpunan aman di pekarangan Kompleks DUN Lama, semalam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mohd Latif Ahmad
ekhwan@hmetro.com.my


Kuching: Pemandu teksi di bandar raya ini menyerahkan petisyen kepada kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap pertambahan pemandu Uber dan Grab di bandar raya ini.

Petisyen yang ditandatangani 237 pemandu teksi itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Ketua Menteri Ahmad Hazlan Ismawi dalam satu perhimpunan aman di Kompleks Dewan Undangan Negeri Lama di sini, semalam.

Melalui petisyen itu, pemandu teksi di bandar raya ini menggesa kerajaan negeri mencari jalan bagi memulihkan industri teksi di Sarawak yang terjejas dengan perkhidmatan e-hailing, Uber dan Grab.

Pemandu teksi Chong Foo Seng berkata, mereka mengadakan perhimpunan itu bukan untuk menimbulkan masalah, sebaliknya meminta kerajaan negeri mencari penyelesaian menang-menang antara pemandu teksi dan pemandu yang menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Menurutnya, pendapatan pemandu teksi menurun secara drastik sebanyak 90 peratus sejak Uber dan Grab memulakan perkhidmatannya di negeri ini.

Dalam pada itu, bantahan aman membabitkan pemandu teksi menyebabkan perkhidmatan teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tergendala sejak pagi semalam.

Pengurus Kanan LTAK Mohd Nadzim Hashim berkata, kebanyakan penumpang yang tiba di lapangan terbang berkenaan tidak dapat menggunakan perkhidmatan teksi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 5:46 AM