MOHD Anim (tengah) bersama pegawai pada Majlis Perhimpunan pagi dan Ikrar Bebas Rasuah LPNM di Bandar Baru Uda, semalam.
Omar Ahmad
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berhasrat menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluaran nanas MD2 membabitkan tanah berkeluasan 2,000 hektar bagi memenuhi pasaran China pada masa akan datang.

Ketua Pengarah LPNM Datuk Mohd Anim Hosnan berkata, projek perintis MD2 yang terletak di Kampung Padang Pan, Bau, Sarawak akan dilancarkan pada 13 Januari ini.

Katanya, pada peringkat permulaan, projek perintis itu hanya membabitkan penanaman 100,000 pokok MD2 di tanah seluas empat hektar.

“Nanas MD2 ini menjadi antara nanas pilihan seluruh dunia kerana rasanya yang manis dan tidak lidas. Selain nanas MD2, nanas N36 juga dieksport ke Timur Tengah. Insya-Allah, pada 13 Januari ini, projek perintis MD2 di tanah berkeluasan empat hektar akan dirasmikan di Sarawak membabitkan seorang pengusaha.

“Sebahagian besar hasil MD2 di Sarawak akan dieksport ke China untuk menampung permintaan yang semakin meningkat ketika ini. China meminta kami menghantar nanas jenis ini 100 kontena sebulan tetapi buat masa ini, kami hanya mampu menyediakan 24 kontena sebulan.

“Dengan penanaman nanas di Sarawak, kami yakin ia dapat menampung permintaan domestik dan luar negara. Kami juga tidak mengabaikan nanas jenis lain seperi Josapine, Moris dan N36 dengan tujuh program berkaitan nanas itu diadakan sepanjang tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan pagi dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) LPNM di Bandar Baru Uda, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azmi Alias.

Mohd Anim berkata, pihaknya berusaha memenuhi keperluan 20 juta benih MD2 bagi memenuhi permintaan eksport ke China.

Katanya, benih yang berada di Sarawak dibawa dari Semenanjung dan sekiranya tidak mencukupi, pihaknya akan mengimport benih sesuai dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Kami nasihatkan pengusaha nanas MD2 menggunakan benih asli daripada sulur nanas dan tidak menggunakan benih daripada tisu kultur.

“Ini kerana, benih dari tisu kultur tidak menentu daripada segi rasa dan boleh menjejaskan kepelbagaian rasa, bentuk dan kualiti nanas MD2,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 4:47 AM