ANGGOTA APMM Pangkalan Kuala Kedah memeriksa bot tempatan kelas C yang ditahan kira-kira 2.2 batu nautika barat laut Kuala Sala selepas didapati melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai, hari ini. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


TEKONG dan tiga awak-awak warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah pagi tadi kerana melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, mereka ditahan bersama bot tempatan kelas C kira-kira 2.2 batu nautika barat laut Kuala Sala oleh anggota bot peronda APMM Pengkalan Kuala Kedah.

Beliau berkata, bot terbabit yang membawa 500 kilogram ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Pangkalan Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

"Bot terbabit ditahan 4 pagi tadi di kawasan zon A, sedangkan mereka hanya dibenarkan menangkap ikan pada jarak kira-kira 15 batu nautika dari pantai seperti yang tertera di dalam lesen bot berkenaan.

"Kita turut mengambil keterangan tekong dan awak-awak berusia 22 hingga 51 tahun

itu bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Kamal turut menasihati semua pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

Beliau juga berharap kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 8:26 PM