Tertuduh dipenjara enam bulan dan dikenakan RM5,000 denda oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencederakan rakannya menggunakan parang dan besi.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Alliman Hanafi, 26, dari Kuala Nerus turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebatang besi dan sebilah parang terhadap mangsa, Ramizam Ambok, 37, di hadapan sebuah bank di Wakaf Tengah, Kuala Nerus, jam 2.30 petang pada 23 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam, Che Muhammad Amir Che Musa.

Mengikut fakta kes, mangsa yang menunggang motosikal selepas selesai urusan di sebuah bank ditahan tertuduh di lampu isyarat Wakaf Tengah, Kuala Nerus.

Tertuduh menghalang motosikal mangsa menggunakan motosikalnya dan berlaku pergelutan antara mereka yang mana tertuduh bertindak memukul dahi mangsa menggunakan sebatang besi sehingga dahinya terkoyak.

Pergaduhan itu berjaya dileraikan orang kampung sebelum mangsa pulang ke rumahnya dan ketika mangsa mahu mendapatkan rawatan di hospital, tertuduh yang tidak berpuas hati datang ke rumah mangsa.

Tertuduh bertindak merosakkan motosikal yang diletakkan di tepi rumah dan mangsa mengambil golok untuk menakutkan tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh datang semula ke rumah mangsa beberapa minit kemudian sambil memegang sebilah parang lalu menyerang mangsa yang ketika itu berada di dalam kereta untuk ke hospital.

Kejadian itu menyebabkan mangsa menerima 18 jahitan di tangan kiri dan tiga jahitan di kepala selain cedera di beberapa anggota badan.

Suspek dipercayai bertindak sedemikian akibat salah faham apabila suspek mendakwa mangsa melaporkan perbuatan jenayahnya kepada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 6:54 PM