SMK Meru di Klang. FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan sedang merancang untuk membina satu lagi sekolah di sekitar kawasan Meru, Klang berikutan kepadatan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, ketika ini.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kepadatan pelajar di sekolah berkenaan yang kini mempunyai kira-kira 4,000 pelajar.

"Saya pernah membuat lawatan ke sekolah berkenaan dan saya maklum dengan jumlah pelajar di sekolah itu yang terlalu besar malah, memang di luar jangkaan.

"Bagaimanapun, Kementerian kini dalam perancangan untuk mencari satu lokasi sesuai bagi membina sebuah lagi sekolah baru di kawasan lain untuk membantu mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan dan Pra Pelancaran Program 'Ace It Easy' di Putrajaya, hari ini.

P Kamalanathan bersama rakan penaja untuk Program Perintis ‘Ace It Easy’. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Baru-baru ini, satu portal pendidikan melaporkan SMK Meru Klang dikategorikan sebagai sekolah paling padat kerana mempunyai jumlah pelajar paling ramai di negara ini.

Menurutnya, pada tahun lalu, sekolah berkenaan mempunyai kira-kira 4,600 pelajar bermula tingkatan satu hingga lima termasuk kelas peralihan dan program pendidikan khas.

Memetik laporan portal berkenaan, sekolah berkenaan juga terpaksa melaksanakan dua sesi pembelajaran berikutan hanya mempunyai 270 warga pendidik selain jumlah pelajar yang terlalu ramai.

Sementara itu, Kamalanathan berkata, kementerian mensasarkan peningkatan enrolmen pelajar ke sekolah sebanyak 100 peratus selaras dengan matlamat semua rakyat mendapat peluang pendidikan.

"Enrolmen pelajar ketika ini sudah mencapai kira-kira 96 peratus tetapi kita mahu jumlah ini terus meningkat dengan menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada masyarakat.

"Walaupun kementerian berhadapan cabaran tertentu namun, kita akan sedaya-upaya membantu menyediakan akses pendidikan kepada setiap warga Malaysia," katanya.

Terdahulu, beliau turut memperkenalkan program ‘Ace It Easy’ yang dianjurkan Ascendance Sdn Bhd sebagai salah satu aktiviti bimbingan rakan sebaya membabitkan pelajar kurang cemerlang.

Katanya, 10 sekolah sekitar Lembah Klang terpilih untuk menyertai program ini yang berlangsung bermula bulan ini sehingga April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 6:24 PM