Sekumpulan remaja ditahan polis kerana menunggang basikal secara berbahaya. FOTO ihsan polis
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


SERAMAI 11 remaja geng basikal lajak tidak sempat menunjukkan kehebatan masing-masing apabila ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ketika leka menunggang secara berbahaya di Taman Semenyih Mewah, Kajang, 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, semua remaja terbabit berusia antara 11 hingga 16 tahun ditahan ekoran aduan orang awam mengenai aktiviti geng basikal lajak di situ.

“Menerusi aduan berkenaan, sepasukan anggota BSPT ke lokasi dan menemui 11 remaja berkenaan sedang berkumpul serta berlumba.

“Ketika ditahan, semuanya didapati mengubahsuai basikal masing-masing dan berbahaya untuk ditunggang,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihak menyita semua 11 basikal yang sudah diubahsuai serta mengeluarkan 11 saman POL 257 atas kesalahan mengubahsuai basikal, tiada brek dan loceng mengikut Peraturan 42(1)(a) LN1669/59 serta Peraturan 11 LN166/69.

“Manakala tangkapan serta sitaan basikal dibuat mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

“Semua remaja itu kita bebaskan selepas saman dikeluarkan kepada ibu bapa yang dipanggil ke balai polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 6:17 PM