ANTARA PATI yang ditahan. FOTO Ihsan PPM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang, Johor menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi bersepadu bersama Angkatan Tentera Malaysia (APM) di pesisir pantai Bandar Penawar, Kota Tinggi awal pagi ini.

Komandernya Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, operasi dilaksanakan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilaksanakan menerusi OP Landai bersama enam pegawai dan anggota ATM.

"Operasi terancang yang dijalankan secara bersepadu itu menahan 48 PATI lelaki dan wanita warga Indonesia berusia 20 hingga 50-an.

"Ia dilaksanakan menerusi OP Landai bermula 3.30 hingga 4.45 pagi membabitkan empat serbuan di kawasan hutan sekitar Pulau Hijau Bandar Penawar," katanya.

Beliau berkata, 30 PATI membabitkan 27 lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa ditahan ketika menunggu bot pancung untuk pulang ke negara asal.

"Manakala dua serbuan seterusnya di kawasan berhampiran menahan 18 orang PATI membabitkan 10 lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa yang baru mendarat menggunakan bot pancung," katanya.

Beliau berkata, semua suspek diperiksa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan cuba keluar dan masuk dari negara ini menggunakan jalan tidak diwartakan.

"Berikutan itu mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) untuk tindakan lanjut.

"Pihak PPM juga berusaha mengesan sindiket yang bertanggungjawab menguruskan keluar dan masuk PATI terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 5:49 PM